Monday 17 November 2014

Tokoh Ukiran Kayu Halus

WAN SU OTHMAN

Beliau dilahirkan pada tahun 1899 di Pengkalan Kubu, Tumpat, Kelantan dan merupakan tokoh seni ukir terkenal di Besut, Terengganu. Beliau mewarisi bakat datuk saudaranya iaitu Nik Wan Ali, tukang ukir di Istana Patani. Sejak dari zaman kanak-kanak, bakat sebagai pengukir telah menyerlah pada diri beliau. Ketika berusia 12 tahun, beliau telah melukis dan mengukir watak-watak dalam wayang kulit Melayu. Hasil ukiran utama Wan Su ialah pintu utama Muzium Negara, pintu utama dan Dewan Santapan Istana Sultan Pahang di Pekan, Dewan santapan Istana Sultan Selangor, rumah Sri Tanjung Taman Tasik Titiwangsa, Istana Badariah, Panca Persada Bersiram Tebal, Istana Maziah, Logo Hijrah dan Logo Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Wan Su pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Adiguru Kraf dalam bidang seni ukir kayu pada tahun 1985 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Tokoh Budaya ASEAN di Brunei Darussalam pada tahun 1993. Beliau  telah memberi tunjuk ajar dan melatih generasi muda dalam bidang seni ukir di galerinya iaitu Galeri Wan Su di Besut, Terengganu. Pada tahun 1997, beliau merupakan penerima Anugerah Seniman Negara yang ketiga.




HAJI WAN MUSTAFA BIN WAN SU

Haji Wan Mustafa atau lebih dikenali dengan panggilan WanPo dilahirkan di Kg. Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan pada 5 Mei 1939. Beliau merupakan anak kepada Wan Su Othman. Beliau telah didedahkan dengan ilmu ukiran di Bengkel Seni Ukir Wan Su milik bapanya. Malah, beliau telah mendpaat kepercayaan dari bapanya untuk meneruskan usaha dalam bidang ukiran dengan penyerahan bengkel ukiran tersebut kepada beliau. Kini, bengkel itu dikenali dengan nama Balai Seni Wan Mustafa.

Antara hasil kerja beliau adalah Panca Persada Istana Maziah, Pintu Istana Maziah di Kuala Terengganu, hiasan dalaman Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang dan hiasan dalaman Muzium Negeri Terengganu.




NORHAIZA BIN NORDIN

Encik Norhaiza bin Nordin dilahirkan di Kg. Raja pada 20 Februari 1963. Setelah menamatkan persekolahannya pada tahun 1984, beliau telah menimba ilmu berkaitan bidang ukiran dengan beberapa tokoh ukiran tersohor. Beliau mula bekerja sambil belajar di Balai Seni Ukir Wan Mustafa Su, sebelum belajar dengan Allahyarham Tengku Ibrahim bin Tengku Wook, diikuti dengan Allahyarham Hj. Abd Rahman Long. Beliau juga turut berguru dengan Allahyarham Nik Rashidin bin Nik Husin, seorang pengukir terkenal di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau menubuhkan bengkelnya sendiri yang dinamakan Bengkel Ukir Bakawali pada tahun 1990. Antara hasil kerja beliau adalah hiasan dalaman Muzium Negeri Terengganu, taman Lagenda Langkawi, hiasan dalaman Masjid Al-Hana di Kuah, Langkawi, Masjid Mukah di Sarawak dan hiasan Istana Melawati Petra Jaya. Ukiran beliau juga turut mendapat tempat di Auditorium dan Galeri Oxford Centre of Islamic School di Universiti Oxford, United Kingdom.

Beliau menghasilkan buku "Spirit of Wood, The Art of Malay Wood Carving" yang memuatkan hasil beliau dan Allahyarham Nik Rashidin yang diterbitkan pada tahun 2003. Usaha beliau menghidupkan seni ukiran di mata dunia dengan mengadakan pameran "Spirit of Wood" yang dipamerkan di Asian Civilisation Museum, Singapura pada tahun 2003, Brunei Gallery London pada tahun 2004 dan Muzium Negara dan Muzium terengganu pada tahun 2005.




No comments:

Post a Comment