Monday 17 November 2014

Projek Ukiran Kayu Halus


Kayu yang telah dilukis mengikut corak yang dikehendaki. Kayu ini telah siap ditebuk dan sebahagian daripadanya telah dipotong mengikut corak yang dilukis di atas papan.


Berikut adalah proses memotong kayu. Sebelum itu, anda dikehendaki menebuk lubang terlebih dahulu yang bertujuan untuk memasukkan mata gergaji untuk tujuan memotong kayu.


Proses syelek ukiran kayu yang telah siap dipotong, diukir dan digosok menggunakan kertas pasir. Cebisan kain buruk digunakan untuk syelek permukaan kayu. Syelek lapisan demi lapisan adalah digalakkan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Setelah selesai, anda boleh spray permukaan kayu dengan menggunakan spray clear untuk mengekalkan keaslian syelek agar tidak pudar atau luntur.


Gambar 1


Gambar 2


Gambar 3


Gambar 4


Gambar 5










Bahan-bahan Ukiran Kayu Halus


Papan kayu.


Pahat perlbagai saiz dan gandin kayu.


Pisau wali atau sebarang pisau kecil yang tajam.



Mesin gerudi lantai atau mesin gerudi tangan.


Gergaji lestrik.


Kertas pasir pelbagai jenis kekasaran.


Syelek dan cebisan kain buruk.











Tokoh Ukiran Kayu Halus

WAN SU OTHMAN

Beliau dilahirkan pada tahun 1899 di Pengkalan Kubu, Tumpat, Kelantan dan merupakan tokoh seni ukir terkenal di Besut, Terengganu. Beliau mewarisi bakat datuk saudaranya iaitu Nik Wan Ali, tukang ukir di Istana Patani. Sejak dari zaman kanak-kanak, bakat sebagai pengukir telah menyerlah pada diri beliau. Ketika berusia 12 tahun, beliau telah melukis dan mengukir watak-watak dalam wayang kulit Melayu. Hasil ukiran utama Wan Su ialah pintu utama Muzium Negara, pintu utama dan Dewan Santapan Istana Sultan Pahang di Pekan, Dewan santapan Istana Sultan Selangor, rumah Sri Tanjung Taman Tasik Titiwangsa, Istana Badariah, Panca Persada Bersiram Tebal, Istana Maziah, Logo Hijrah dan Logo Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Wan Su pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Adiguru Kraf dalam bidang seni ukir kayu pada tahun 1985 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Tokoh Budaya ASEAN di Brunei Darussalam pada tahun 1993. Beliau  telah memberi tunjuk ajar dan melatih generasi muda dalam bidang seni ukir di galerinya iaitu Galeri Wan Su di Besut, Terengganu. Pada tahun 1997, beliau merupakan penerima Anugerah Seniman Negara yang ketiga.




HAJI WAN MUSTAFA BIN WAN SU

Haji Wan Mustafa atau lebih dikenali dengan panggilan WanPo dilahirkan di Kg. Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan pada 5 Mei 1939. Beliau merupakan anak kepada Wan Su Othman. Beliau telah didedahkan dengan ilmu ukiran di Bengkel Seni Ukir Wan Su milik bapanya. Malah, beliau telah mendpaat kepercayaan dari bapanya untuk meneruskan usaha dalam bidang ukiran dengan penyerahan bengkel ukiran tersebut kepada beliau. Kini, bengkel itu dikenali dengan nama Balai Seni Wan Mustafa.

Antara hasil kerja beliau adalah Panca Persada Istana Maziah, Pintu Istana Maziah di Kuala Terengganu, hiasan dalaman Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang dan hiasan dalaman Muzium Negeri Terengganu.




NORHAIZA BIN NORDIN

Encik Norhaiza bin Nordin dilahirkan di Kg. Raja pada 20 Februari 1963. Setelah menamatkan persekolahannya pada tahun 1984, beliau telah menimba ilmu berkaitan bidang ukiran dengan beberapa tokoh ukiran tersohor. Beliau mula bekerja sambil belajar di Balai Seni Ukir Wan Mustafa Su, sebelum belajar dengan Allahyarham Tengku Ibrahim bin Tengku Wook, diikuti dengan Allahyarham Hj. Abd Rahman Long. Beliau juga turut berguru dengan Allahyarham Nik Rashidin bin Nik Husin, seorang pengukir terkenal di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau menubuhkan bengkelnya sendiri yang dinamakan Bengkel Ukir Bakawali pada tahun 1990. Antara hasil kerja beliau adalah hiasan dalaman Muzium Negeri Terengganu, taman Lagenda Langkawi, hiasan dalaman Masjid Al-Hana di Kuah, Langkawi, Masjid Mukah di Sarawak dan hiasan Istana Melawati Petra Jaya. Ukiran beliau juga turut mendapat tempat di Auditorium dan Galeri Oxford Centre of Islamic School di Universiti Oxford, United Kingdom.

Beliau menghasilkan buku "Spirit of Wood, The Art of Malay Wood Carving" yang memuatkan hasil beliau dan Allahyarham Nik Rashidin yang diterbitkan pada tahun 2003. Usaha beliau menghidupkan seni ukiran di mata dunia dengan mengadakan pameran "Spirit of Wood" yang dipamerkan di Asian Civilisation Museum, Singapura pada tahun 2003, Brunei Gallery London pada tahun 2004 dan Muzium Negara dan Muzium terengganu pada tahun 2005.




Bentuk-bentuk Silat Ukiran Kayu Halus

"Silat" membawa maksud reka bentuk ukiran timbul yang menonjolkan motif bunga ukir pada ukiran kayu.

Silat Leper

Silatnya hampir sama dengan silat belah rotan, tetapi lebih lebar dan rendah.


Silat Belah Rotan

Bahagian tepi tebukan ukiran kayu silat ini dibulatkan separuh.


Silat Serong

Terdapat juring atau penjuru tajam pada tepi silat kerana silatnya serong.


Silat Minangkabau

Bahagian tengah silat tinggi dan tajam, manakala kedua-dua bahagian tepi silat ini direndahkan.


Silat Dada Tuma

Terdapat dua lengkungan separuh bulat dan lengkungan pada silat ini kelihatan lebih hidup dan bergaya.



Pola Ukiran Kayu Halus

Pola Bujang

Bentuk ini berdiri terasing, bebas dan tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung. Kebiasaannya bentuk ini menampilkan motif bulan, bintang, matahari, kuntum bunga atau putik buah.



Pola Pemidang

Pola ini menampilkan motif yang menggambarkan pergerakan sederhana dan tidak berbelit-belit. Pola ini mempunyai bingkai atau pemidang.

Ukiran-ukiran yang dibuat dalam bentuk ini diberi nama-nama yang menarik seperti itik pulang petang, badak mudik, setampuk manggis dan lain-lain. Kebiasaannya bentuk pemidang digunakan untuk jala-jala rumah serta benda-benda yang terdapat di dalam rumah seperti tepak sirih, almari dan dulang kayu.



Pola Lengkap

Pola ini menggabungkan ciri-ciri pola bujang dan pola pemidang. Pola ini menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan merangkumi akar, batang, buah, dahan, daun, putik dan sulurnya.




Bentuk-bentuk Ukiran

Ukiran Tebuk Tembus

Ukiran tebuk berasal dari sekeping papan atau beberapa keping papan yang ditebuk dengan menggunakan gerudi (gergaji menggerudi) supaya tembus bentuk-bentuk bunga atau corak yang dikehendaki. Terdapat dua jenis ukiran tebuk tembus iaitu ukiran tebuk tidak silat dan ukiran tebuk silat.

Ukiran tebuk tidak silat banyak terdapat pada rumah-rumah lama iaitu bahagian selasar, lambur, dinding, pintu, perabut dan mimbar masjid. Bentuk bunga ukir ialah awan larat, siling, kaligrafi dan simetri. 

Bagi ukiran tebuk silat pula, bahagian yang menindih serta melengkung keluar, ditimbulkan dan bahagian yang melengkung pula ke dalam serta tertindih ditenggelamkan. Sesungguhnya silat ialah istilah yang menunjukkan bahagian yang timbul dan tenggelam serta papan tebuk disobek. Bunga ukir yang terdapat pada bentuk ini ialah awan larat, silang dan simetri.



Ukiran Bunga Timbul

Ukiran ini tidak tembus. Ia mengandungi bunga ukir yang disilatkan dan tidak disilatkan. Bentuk ini terdapat pada perabot, mimpar masjid, barang hiasan yang diperbuat daripada kayu, ulu serta sampir senjata. Bunga ukirnya pula sama seperti ukiran tebuk.





Pengaruh Motif atau Corak Ukiran Tradisional

Motif ukiran kayu secara langsung dipengaruhi unsur-unsur alam sekitar dan cara hidup masyarakat zaman dahulu. Adat resam, kepercayaan, agama, iklim, geografi dan persekitaran amat kuat mempengaruhi pengukir. Antara pengaruh yang dimaksudkan adalah unsur tumbuh-tumbuhan, makhluk hidup, kaligrafi, geometri dan kosmos.

Unsur Tumbuh-tumbuhan

Unsur ini biasanya diambil daripada tumbuhan yang menjalar. Antara tumbuhan yang paling popular dalam kalangan pengukir adalah jenis kacang, labu, ketubit, ketam guri, bunga lawang, bunga raya, bunga cina dan sebagainya. Unsur ini merupakan unsur yang dominan dalam rekaan seni ukir tradisional.

Unsur Makhluk Hidup

Unsur ini kebanyakkannya dipengaruhi oleh semangat dan kepercayaan. Pada zaman pengaruh Hindu, unsur-unsur seperti kepala burung, ayam, itik dan naga menjadi kegemaran oleh pengukir. Setelah kedatangan agama Islam, pengaruh ini semakin berkurangan. Ukiran unsur makhluk hidup banyak terdapat pada kapal atau perahu nelayan Pantai Timur.

Unsur Kaligrafi

Setelah kedatangan agama Islam di Tanah Melayu, unsur kaligrafi Jawi dan ayat-ayat suci Al-Quran mula diukir oleh pengukir-pengukir tempatan. Unsur kaligrafi ini digabungkan dengan unsur tumbuh-tumbuhan.

Unsur Geometri

Unsur ini dikenali sebagai tumpal. Unsur ini mempunyai kaitan dengan unsur geometri Islam. Pola-pola geometri disusun secara berulang-ulang.

Unsur kosmos

Unsur ini menggambarkan alam semesta seperti matahari terbit, bintang, bulan dan gunung-ganang. Ukiran seperti ini banyak terdapat di tebar layar rumah-rumah Melayu tradisional.


Motif Bunga Raya

Motif Cinta Mani

Motif Daun Sayap

Motif Ketam Guri

Motif Tari Buaya

Falsafah Ukiran Kayu Halus

Seorang pandai kayu tidak hanya pandai untuk mengukir tetapi mereka juga berpegang kepada falsafah semasa mengukir atau proses membuat ukiran. Falsafah ini dijadikan sebagai satu garis panduan atau "guide line" kepada pengukir untuk menghasilkan corak ukiran.

Tumbuh Berpunca

Semua yang dilahirkan itu adalah dari "Zat Allah" dan tidak dapat digambarkan oleh akal manusia. Seperti pandangan Abdullah Mohammed (Nakula,1978) dalam buku Falsafah dan Pemikiran Orang-orang Melayu, beliau menyatakan bahawa asas kebudayaan orang-orang Melayu adalah "Zat Allah". Daripada "Zat Allah" ini maka wujudlah segala bentuk makhluk dimuka bumi ini termasuklah manusia. "Konsep keTuhanan dan keAlaman" menjadi asas kepada zat Allah.

Konsep ini telah diamalkan oleh orang Melayu dalam semua aspek termasuk kesenian. Maka zat Allah ini dipamerkan sebagai "Benih" alam yang mempunyai hayat, ilmu iradat dan kudrat. Biji benih menjadi lambang kewujudan manusia yang kemudiannya berkembang membentuk satu kehidupan berkeluarga iaitu daun pengasuh sengaja digambarkan sebagai "Siba Dayang" menghasilkan kehidupan baru sebagai putik dan bunga yang meneruskan kehidupannya.

Punca Penuh Rahsia

Perkataan "Rahsia" dalam Bahasa Arab disebut sebagai "Sir" yang membawa maksud "Zat Allah". Daripada rahsia itu maka muncullah benih atau yang mewujudkan "Alam" yang indah. Para pengukir melihat rahsia alam pada hakikat sebenarnya sebagai melihat keindahan Allah.

Daripada itu orang Melayu akan dapat mengenal asal usul dirinya dan juga dapat mengukur sejauh manakan kemampuan dirinya. Akhirnya wujudlah masyarakat yang bersifat mulia dan beretika.

Tajam Tidak Menujah Lawan

"Zat Allah"  mempunyai kelompok sifat iaitu sifat keindahan sebagai "Jamal" dan sifat kehebatan "Jalal". Alam mewarisi kedua-dua sifat tersebut iaitu sifat indah dan sifat kehebatan. Orang Melayu terkenal dengan sifat pengasih, tenang, kelembutan dan amat mencintai kedamaian.

Konsep ini milik bersama dan tidak suka mengambil kesempatan terhadap kelemahan orang lain adalah sikap turun-temurun orang Melayu.

Wednesday 22 October 2014

Sejarah Ukiran Kayu Tradisional

Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi masyarakat Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir di Tanah Melayu ini banyak tercatat dalam catatan-catatan sejarah iaitu dalam Sejarah Melayu yang mana dikatakan bahawa seni ukiran masyarakat Melayu tradisi telah wujud lebih daripada 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, masyarakat Melayu telah memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada bangunan seperti istana dan rumah kediaman.

Ukiran Istana Seri Menanti.

Rumah Penghulu Md. Natar yang terletak di Kg. Merlimau Pantai.

Peninggalan istana lama dan rumah kediaman tradisional masih memperlihatkan keindahan dan keunikkan ukiran-ukiran yang diterapkan. Antara negeri yang mempunyai pengukir turun-temurun adalah negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah. Terdapat sesetengah pendapat menyatakan bahawa kebanyakan ukiran kayu masyarakat Melayu adalah terpengaruh dengan motif ukiran negara Siam kerana suatu ketika dahulu negeri-negeri tersebut dibawah pengaruh Siam. Ini adalah berdasarkan kepada corak ukiran masjid, wakaf, istana dan rumah-rumah lama yang mana mempunyai banyak persamaan dengan seni ukir Siam. Tidak mustahil jika dikatakan bahawa seni ukir di negara ini telah didatangi dari selatan negara Thailand iaitu Pattani.


Sejarah

Adalah sukar untuk mengetahui sejarah awal berkenaan ukiran kayu. Akan tetapi, jika kita membaca buku Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) kita akan mengetahui berkenaan seni ukir yang dijalankan oleh masyarakat Melayu sejak pemerintahan Sultan Mansur Shah yang memerintah negeri Melaka dari tahun 1459 hingga 1477. Buku Sejarah Melayu tersebut dikarang oleh Tun Sri Lanang pada abad ke-17 dan melalui tulisannya itu tercatat keindahan seni bina istana Sultan Mansur Syah. Istana itu digelar oleh rakyat negeri Melaka sebagai "Istana Hawa Nafsu".

Terdapat juga catatan silam berkenaan seni bina iaitu Hikayat Misa Melayu. Dalam catatan hikayat tersebut digambarkan mengenai seni ukir di istana yang terletak di Pulau Indera Sakti iaitu sebuah tempat di Kuala Sungai Kinta, Perak semasa pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain pada tahun 1756 hingga 1780.


Wednesday 15 October 2014

Pengenalan Kraf Kayu Halus

Ukiran kayu atau seni ukir merupakan seni pertukangan yang menjadi tradisi turun-temurun dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia. Oleh kerana itu, kemahiran mengukir sudah sinonim dengan kemahiran orang Melayu sejak awal sejarah tanahair. Bukti-bukti kemahiran ini sebenarnya dapat dilihat di bahagian-bahagian rumah seperti tangga, pintu, dinding, tiang, batu nisan, daun pintu, tingkap, katil, meja dan banyak lagi.


Ukiran bumbung di rumah tradisional orang Melayu.


 Ukiran katil.


Ukiran tiang.