Wednesday, 22 October 2014

Sejarah Ukiran Kayu Tradisional

Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi masyarakat Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir di Tanah Melayu ini banyak tercatat dalam catatan-catatan sejarah iaitu dalam Sejarah Melayu yang mana dikatakan bahawa seni ukiran masyarakat Melayu tradisi telah wujud lebih daripada 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, masyarakat Melayu telah memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada bangunan seperti istana dan rumah kediaman.

Ukiran Istana Seri Menanti.

Rumah Penghulu Md. Natar yang terletak di Kg. Merlimau Pantai.

Peninggalan istana lama dan rumah kediaman tradisional masih memperlihatkan keindahan dan keunikkan ukiran-ukiran yang diterapkan. Antara negeri yang mempunyai pengukir turun-temurun adalah negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah. Terdapat sesetengah pendapat menyatakan bahawa kebanyakan ukiran kayu masyarakat Melayu adalah terpengaruh dengan motif ukiran negara Siam kerana suatu ketika dahulu negeri-negeri tersebut dibawah pengaruh Siam. Ini adalah berdasarkan kepada corak ukiran masjid, wakaf, istana dan rumah-rumah lama yang mana mempunyai banyak persamaan dengan seni ukir Siam. Tidak mustahil jika dikatakan bahawa seni ukir di negara ini telah didatangi dari selatan negara Thailand iaitu Pattani.


Sejarah

Adalah sukar untuk mengetahui sejarah awal berkenaan ukiran kayu. Akan tetapi, jika kita membaca buku Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) kita akan mengetahui berkenaan seni ukir yang dijalankan oleh masyarakat Melayu sejak pemerintahan Sultan Mansur Shah yang memerintah negeri Melaka dari tahun 1459 hingga 1477. Buku Sejarah Melayu tersebut dikarang oleh Tun Sri Lanang pada abad ke-17 dan melalui tulisannya itu tercatat keindahan seni bina istana Sultan Mansur Syah. Istana itu digelar oleh rakyat negeri Melaka sebagai "Istana Hawa Nafsu".

Terdapat juga catatan silam berkenaan seni bina iaitu Hikayat Misa Melayu. Dalam catatan hikayat tersebut digambarkan mengenai seni ukir di istana yang terletak di Pulau Indera Sakti iaitu sebuah tempat di Kuala Sungai Kinta, Perak semasa pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain pada tahun 1756 hingga 1780.


Wednesday, 15 October 2014

Pengenalan Kraf Kayu Halus

Ukiran kayu atau seni ukir merupakan seni pertukangan yang menjadi tradisi turun-temurun dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia. Oleh kerana itu, kemahiran mengukir sudah sinonim dengan kemahiran orang Melayu sejak awal sejarah tanahair. Bukti-bukti kemahiran ini sebenarnya dapat dilihat di bahagian-bahagian rumah seperti tangga, pintu, dinding, tiang, batu nisan, daun pintu, tingkap, katil, meja dan banyak lagi.


Ukiran bumbung di rumah tradisional orang Melayu.


 Ukiran katil.


Ukiran tiang.